RAWANG, 24 Disember 2014 – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) membawa keceriaan kepada 82 orang kanak-kanak di Perkampungan Orang Asli Bukit Manchong dengan mengadakan Program ‘Kembali ke Sekolah’ baru-baru ini.

Program ini adalah sebahagian besar daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat CGC untuk membantu keluarga masyarakat Orang Asli khususnya kepada kanak-kanak yang masih bersekolah.

Usaha murni ini telah dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dari Daerah Hulu Selangor, di mana kanak-kanak yang masih bersekolah diberi pakaian seragam sekolah yang baru, beg sekolah serta alat tulis bernilai kira-kira RM10,000 sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada awal tahun hadapan.

Naib Presiden Eksekutif CGC, Nazleena Nordin berkata, dengan sumbangan yang diberikan, CGC berharap dapat meringankan beban mereka untuk sesi persekolahan pada tahun 2015.

Sumbangan ini bertujuan untuk menggembirakan dan juga menjadi inspirasi kepada anak-anak Orang Asli yang masih bersekolah untuk belajar dengan lebih tekun, katanya.

Pelajar sekolah menengah, Johaniesa berkata peralatan serta keperluan sekolah yang diterima merupakan hadiah yang sangat sempurna buatnya. Saya sudah lama berniat untuk membeli beg sekolah baru untuk sesi persekolahan 2015 ini, dan sumbangan ini juga menjadi sumber motivasi saya untuk menjadi seorang doktor suatu hari nanti, katanya.

Setiap kanak-kanak menerima sepasang pakaian seragam sekolah dan kasut, beg sekolah baru dan alat tulis. Jumlah 82 kanak-kanak sekolah adalah termasuk kanak kanak tadika, para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Pelajar sekolah rendah, Suhala berkata dengan beg baru, dia boleh membawa barang-barang yang lebih kerana sebelum ini dia menggunakan beg yang lebih kecil.

Nazleena berkata, objektif utama program ini adalah sebagai program khidmat masyarakat dan membantu masyarakat Orang Asli dalam memperbaiki kehidupan mereka serta meningkatkan taraf hidup mereka melalui pendidikan.

Ini juga merupakan satu pengalaman baru dan amat bermakna kerana ia adalah lebih daripada sekadar majlis penyerahan sumbangan. Program ini juga menerapkan semangat persaudaraan di kalangan kakitangan CGC dan masyarakat Orang Asli.

Selain memberi sumbangan, aktiviti dengan kanak-kanak masyarakat Orang Asli juga telah diadakan dengan penyertaan dari kakitangan CGC.

Pada skala yang lebih besar, CGC telah berada di barisan hadapan dalam inisiatif membantu PKS dengan memberi akses kepada sistem jaminan pembiayaan. Melalui sistem jaminan, ia telah membiayai lebih daripada 420,000 PKS setakat ini dan usaha ini telah membantu dalam memperbaiki taraf hidup beribu-ribu rakyat Malaysia.