[print-me title="Cetak" target="#middle_content"]

Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad – Akses Terma dan Syarat

Sila luangkan masa untuk membaca terma dan syarat berikut dengan teliti.

TERMA DAN SYARAT BERIKUT ADALAH TERPAKAI KE ATAS AKSES DAN PENGGUNAAN LAMAN WEB INI DAN PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH CREDIT GUARANTEE CORPORATION MALAYSIA BERHAD. DENGAN MENGAKSES MANA-MANA ​LAMAN DI ​LAMAN WEB INI DAN/ATAU MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN, ANDA BERSETUJU UNTUK TERIKAT DENGAN TERMA DAN SYARAT TANPA HAD ATAU KELAYAKAN.

JIKA ANDA TIDAK MENERIMA ATAU BERSETUJU DENGAN TERMA DAN SYARAT INI, SILA HENTIKAN AKSES KE LAMAN WEB INI DAN/ATAU PENGGUNAAN PERKHIDMATAN DENGAN SERTA-MERTA.

Am

Istilah “CGC” seperti yang digunakan dalam terma dan syarat ini merujuk kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad. Istilah “cawangan CGC” merujuk kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad dan cawangannya, sama ada secara individu dan/atau berkumpulan sepertimana diperlukan oleh konteksnya.

Semua produk dan perkhidmatan CGC yang disediakan di sini adalah tertakluk pada terma dan syarat perjanjian berkaitan yang mentadbir penggunaan mereka. Terma dan syarat ini adalah bertujuan untuk mengawal akses anda ke laman web ini dan hendaklah dibaca bersama terma dan syarat berkaitan yang mentadbir apa-apa transaksi, produk dan/atau perkhidmatan yang disediakan dalam laman web ini. Sekiranya berlaku percanggahan antara terma dan syarat ini dan terma dan syarat yang mentadbir urus niaga, produk dan/atau perkhidmatan berkaitan yang disediakan di sini, terma dan syarat yang mentadbir urus niaga akan diutamakan.

Maklumat, bahan, fungsi dan kandungan yang disediakan di dalam laman web ini boleh berubah dari semasa ke semasa dengan atau tanpa notis mengikut budi bicara mutlak CGC. Akses berterusan anda atau penggunaan laman web dan/atau perkhidmatan yang disediakan di sini selepas apa-apa perubahan akan dianggap sebagai penerimaan anda terhadap perubahan tersebut.

Penafian

Bahan-bahan dan maklumat di dalam laman web ini, termasuk tetapi tidak terhad kepada perkhidmatan, produk, maklumat, data, teks, grafik, audio, video, pautan atau perkara-perkara lain, adalah disediakan oleh CGC pada dasar “sedia ada” dan “sebagaimana tersedia”. Rujukan kepada bahan dan maklumat yang terkandung dalam laman web ini termasuklah bahan dan maklumat yang disediakan oleh pihak ketiga.

CGC tidak memberi sebarang jaminan secara nyata atau tersirat, perwakilan atau pengendorsan termasuk tetapi tidak terhad kepada sebarang jaminan hak milik, bukan pelanggaran, kebolehdagangan, kegunaan, operasi, kesempurnaan, keterkinian, ketepatan, kecukupan kualiti yang memuaskan, kebolehpercayaan, kesesuaian untuk tujuan tertentu mengenai laman web, bahan, maklumat dan/atau fungsi yang terkandung dan secara jelas menafikan liabiliti bagi kesilapan dan ketinggalan bahan, maklumat dan/atau fungsi.

CGC juga tidak menjamin atau menyatakan bahawa akses kepada keseluruhan atau sebahagian daripada laman web ini, bahan, maklumat dan/atau fungsi yang terkandung di dalamnya akan disediakan tanpa gangguan atau bebas daripada kesilapan atau sebarang kecacatan yang dikenal pasti akan diperbetulkan, atau bahawa tidak ada kelewatan, kegagalan, kesilapan atau kehilangan maklumat yang dihantar, bahawa tidak ada virus atau bahan lain yang mencemar atau merosakkan akan dihantar atau bahawa tiada kerosakan akan berlaku kepada sistem komputer anda.

Bahan, maklumat dan fungsi yang disediakan di dalam laman web ini, dalam apa jua keadaan, tidak boleh dianggap atau ditafsirkan sebagai tawaran atau permintaan untuk menjual, membeli, memberi, mengambil atau memindahkan, atau sebagai pemberian sebarang nasihat mengenai pinjaman di bawah mana-mana bidang kuasa.

Anda bertanggungjawab untuk menilai kualiti, kecukupan, kesempurnaan, keterkinian dan kegunaan semua perkhidmatan, kandungan, nasihat, pendapat dan maklumat lain yang diperoleh atau boleh diakses melalui laman web ini; dan anda perlu mendapatkan nasihat profesional pada setiap masa serta pengesahan bebas mengenai bahan dan maklumat yang disediakan di sini sebelum membuat sebarang keputusan perniagaan atau komersial berdasarkan mana-mana bahan atau maklumat tersebut.

Pautan

Pautan dari atau ke laman web di luar laman web ini adalah untuk kemudahan anda sahaja. Laman web yang dipaut tersebut dimiliki dan dikendalikan oleh pihak ketiga dan tidak berada di bawah kawalan CGC. Oleh itu, CGC tidak bertanggungjawab dan tidak memberi jaminan sama ada secara nyata atau tersirat terhadap kandungan laman web tersebut, pihak ketiga yang dinamakan atau produk dan perkhidmatan mereka. Pautan yang disediakan dalam laman web ini tidak boleh dianggap sebagai pengedorsan atau pengesahan atau kelulusan terhadap laman web yang dipaut tersebut atau kandungannya. Pautan ke mana-mana laman web lain adalah atas risiko anda sendiri dan CGC tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau akibat yang mungkin timbul secara langsung atau sebaliknya berhubung dengan pautan. Anda dinasihati untuk membaca penyata dasar privasi (jika ada) mana-mana laman web yang dipautkan dengan laman web ini.

Hak Cipta

Melainkan dinyatakan sebaliknya, hakcipta laman web ini dan kandungannya, termasuk tetapi tidak terhad kepada teks, imej, grafik, fail bunyi, fail animasi, fail video dan susunannya adalah hak milik CGC, dan dilindungi oleh undang-undang hak cipta Malaysia dan antarabangsa yang berkaitan. Tiada bahagian laman web ini yang boleh diubah, disalin, diedarkan, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, dilaksanakan, dihasilkan semula, diterbitkan, dilesenkan, dipindahkan, dijual atau diuruskan secara komersial dalam apa jua cara tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada CGC.

Anda juga tidak boleh, tanpa izin bertulis secara nyata terlebih dahulu CGC, memasukkan pautan ke laman web ini daripada mana-mana laman web lain, membuat kerangka atau “cermin” pada mana-mana bahan yang terkandung di dalam laman web ini atau mana-mana pelayan lain.

Mana-mana penghasilan semula, penghantaran semula atau penyalinan atau pengubahsuaian lain yang tidak dibenarkan pada mana-mana kandungan laman web CGC mungkin melanggar hak undang-undang berkanun atau common law yang boleh menjadi subjek tindakan undang-undang.

CGC menafikan semua liabiliti yang mungkin timbul daripada sebarang penghasilan semula atau penggunaan tanpa kebenaran kandungan laman web CGC ini.

Tanda Dagangan

Semua tanda dagangan, tanda perkhidmatan dan logo yang dipaparkan dalam laman web ini adalah hak milik CGC dan/atau pemilik pihak ketiga masing-masing seperti yang dinyatakan dalam laman web ini.

Melainkan jika mendapat keizinan bertulis terlebih dahulu daripada CGC atau pemilik pihak ketiga yang berkaitan untuk menggunakan mana-mana tanda dagangan, tanda perkhidmatan atau logo yang dipaparkan di laman web ini, tiada lesen atau hak diberikan kepada mana-mana pihak yang mengakses laman web ini untuk menggunakan, memuat turun, menghasilkan semula, menyalin atau mengubah suai apa-apa tanda dagangan, tanda perkhidmatan atau logo. Begitu juga, melainkan jika mendapat keizinan bertulis terlebih dahulu daripada CGC atau pemilik yang berkenaan, tanda dagangan, tanda perkhidmatan atau logo tersebut tidak boleh digunakan sebagai pautan atau untuk menandakan mana-mana pautan ke laman web CGC atau mana-mana laman web lain.


Pengecualian Liabiliti

CREDIT GUARANTEE CORPORATION MALAYSIA BERHAD AKAN TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA JUA KEHILANGAN ATAU KEROSAKAN SAMA ADA DALAM KONTRAK, TORT, KECUAIAN , LIABILITI KETAT ATAU APA-APA ASAS LAIN, TERMASUK TANPA HAD, KEROSAKAN LANGSUNG ATAU TIDAK LANGSUNG, KHAS, SAMPINGAN, KEROSAKAN TURUTAN ATAU HUKUMAN, ATAU KEHILANGAN UNTUNG ATAU SIMPANAN YANG TIMBUL BERHUBUNG DENGAN AKSES ANDA ATAU PENGGUNAAN ATAU KEGAGALAN UNTUK MENGAKSES ATAU MENGGUNAKAN LAMAN WEB INI (ATAU MANA-MANA KE PAUTAN PIHAK KETIGA BERKENAAN DENGAN SEBARANG KEGAGALAN PRESTASI, KELEWATAN DALAM OPERASI ATAU TRANSMISI, VIRUS KOMPUTER ATAU KEGAGALAN SISTEM ATAU KETIDAKSERASIAN ANTARA LAMAN WEB INI DAN PELAYAR PENGGUNA ATAU PROSES MENGAKSES LAMAN LAIN ATAU DARI LAMAN WEB CREDIT GUARANTEE CORPORATION MALAYSIA BERHAD), PERGANTUNGAN KEPADA MAKLUMAT YANG TERKANDUNG DI DALAM LAMAN WEB INI, SEBARANG JENIS KEGAGALAN TEKNIKAL, PERKAKASAN ATAU PERISIAN, GANGGUAN, KESALAHAN, PENINGGALAN, KELEWATAN DALAM OPERASI, VIRUS KOMPUTER, ATAU SEBALIKNYA.

KLAUSA PENGECUALIAN INI BERKUAT KUASA SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG.

Indemniti

Anda dengan ini bersetuju untuk menanggung kos dan atas dasar peguamcara dan pelanggan dan melepaskan CGC daripada semua liabiliti, tuntutan, kerugian dan perbelanjaan, termasuk sebarang bayaran undang-undang yang mungkin ditanggung oleh CGC berhubung dengan atau yang timbul daripada (1) penggunaan atau penyalahgunaan anda di laman web ini dan perkhidmatan yang disediakan di sini, atau (2) pelanggaran terma dan syarat oleh anda walau bagaimanapun berlaku, atau (3) sebarang tuntutan pelanggaran hak harta intelek atau hak milik yang dibuat oleh pihak ketiga terhadap CGC berhubung dengan penggunaan anda di laman web ini.

Penamatan

CGC berhak untuk menamatkan dan/atau menggantung akses anda ke laman web ini dan/atau penggunaan anda di laman web ini pada bila-bila masa atas sebarang sebab sekalipun. Khususnya, dan tanpa had, CGC boleh menamatkan dan/atau menggantung akses anda sekiranya anda melanggar mana-mana terma dan syarat ini, atau melanggar hak-hak CGC, mana-mana pengguna lain, atau mana-mana pihak ketiga.

Pelbagai

Kegagalan CGC untuk melaksanakan atau menguatkuasakan sebarang hak atau peruntukan terma dan syarat ini tidak akan membentuk penepian hak atau peruntukan tersebut. Jika mana-mana bahagian terma dan syarat adalah ditentukan sebagai tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan menurut undang-undang, maka peruntukan yang tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan tersebut adalah dianggap digantikan oleh peruntukan yang sah dan boleh dikuatkuasakan yang paling sesuai dengan tujuan peruntukan asal dan baki peruntukan lain dalam terma dan syarat ini adalah terus berkuatkuasa dan berkesan sepenuhnya. Sebarang hak yang tidak diberi secara nyata di sini adalah terpelihara.

Undang-undang dan Bidang Kuasa

Terma dan syarat ini ditadbir oleh dan ditafsirkan selaras dengan undang-undang Malaysia. Dengan mengakses laman web ini dan/atau menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh CGC, anda dengan ini menyetujui bidang kuasa eksklusif mahkamah negeri-negeri Malaya di Kuala Lumpur, Malaysia dalam semua pertikaian yang timbul daripada atau berkaitan dengan penggunaan laman web ini. CGC tidak membuat perwakilan bahawa bahan, maklumat, fungsi dan/atau perkhidmatan yang disediakan di laman web ini adalah sesuai atau sedia untuk dalam bidang kuasa lain selain daripada Malaysia.