BATANG KALI, 21 Disember – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) membawa kegembiraan dan senyuman kepada 130 kanak-kanak dari warga komuniti masyarakat Orang Asli di Perkampungan Hulu Tamu di Program Kembali ke Sekolah yang diadakan baru-baru ini.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) CGC untuk membantu keluarga Orang Asli dengan anak-anak yang masih bersekolah dengan memberi sumbangan barangan keperluan persekolahan. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dari Daerah Hulu Selangor.

Kesemua 130 kanak-kanak yang menerima sumbangan melalui program ini terdiri daripada mereka yang masih bersekolah di peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Mereka menerima pakaian seragam sekolah, beg dan alat-alat tulis serba baru sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada tahun hadapan. Selain penyampaian sumbangan, kanak-kanak ini juga turut serta dalam aktiviti-aktiviti menarik yang dianjurkan serta disajikan dengan makan tengah hari yang lazat bersama keluarga mereka.

“Kami amat terharu melihat kegembiraan yang terpacar di wajah anak-anak ini di Program Kembali ke Sekolah CGC pada hari ini. Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu lebih ramai lapisan masyarakat melalui siri inisiatif CSR kami yang dianjurkan sepanjang tahun”, kata Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak.

“Kami berharap sumbangan yang diberikan pada hari ini akan memberi motivasi dan perangsang kepada kanak-kanak ini bahawa pentingnya pendidikan dan prestasi yang baik dalam pelajaran untuk menjamin masa depan yang lebih baik bagi diri mereka,” tambah Zamree.

Sebelum penyampaian sumbangan barangan keperluan persekolahan, aktiviti-aktiviti seperti pertandingan mewarna , ‘musical chair’ dan perlawanan bola sepak telah diadakan bagi kanak-kanak tersebut, dimana turut disertai oleh pihak pengurusan kanan CGC dan para sukarelawan dari Kelab Rekreasi CGC ( KRCGC ).

Pada awal tahun ini, CGC telah menghulurkan pelbagai bantuan dan sokongan dalam usaha membantu pelbagai pihak. Bersempena Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Malaysia, CGC telah menganjurkan program CSR bagi menyokong pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara. Pada bulan Ogos 2015, CGC telah menyumbangkan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Ranau dan pada bulan Oktober 2015, ia telah menganjurkan kempen derma darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara. Berempena sambutan Deepaavali baru-baru ini, satu program CSR telah diadakan di rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak yang didera di Seremban.

Sejak dua (2) tahun lepas, CGC telah menyumbang kira-kira RM250,000.00 melalui program tanggungjawab sosial korporat sebagai sebahagian daripada inisiatifnya dalam menyampaikan sumbangan kepada masyarakat.