KUALA LUMPUR, 12 Feb 2015 – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) membawa keceriaan kepada 35 buah keluarga dengan mengadakan Program Amal CGC sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang di Pusat Beli-Belah Sogo Kuala Lumpur, hari ini.

Program amal ini merupakan sebahagian besar daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat CGC untuk membantu keluarga yang kurang bernasib baik dengan memberi sumbangan kewangan bagi membolehkan mereka meraikan Tahun Baru Cina dengan lebih meriah.

Usaha murni ini adalah kerjasama dengan pihak Persatuan Kechara Soup Kitchen, di mana keluarga ini diberi bantuan kewangan serta pengalaman membeli-belah yang membawa kegembiraan disamping menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan semasa musim perayaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata CGC amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Persatuan Kechara Soup Kitchen dalam memberi sumbangan kewangan kepada mereka yang tiada tempat tinggal dan golongan miskin di bandar untuk meringankan bebanan kewangan mereka terutamanya semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Ini merupakan kerjasama kedua antara CGC dan Persatuan Kechara Soup Kitchen. Pada bulan Oktober 2014, CGC dan Kechara Soup Kitchen menganjurkan Program Amal yang sama untuk perayaan Hari Deepavali. Program ini juga disertai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak, pihak Pengurusan Kanan dan kaki tangan serta Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong dan wakil-wakil dari pihak mereka.

Presiden Persatuan Kechara Soup Kitchen Dato’ Ruby Khong berkata beliau sangat teruja kerana telah berpeluang bekerjasama dengan CGC buat kali kedua dalam menjalankan inisiatif yang penuh dengan kasih sayang untuk golongan yang kurang bernasib baik.

Jenny Tai, 62, dari Taman Desa, berkata beliau amat gembira untuk dapat membeli barang keperluan runcit yang dapat bertahan sehingga seminggu atau dua, memandangkan Tahun Baru Cina akan tiba dalam masa seminggu sahaja lagi.

Khor Poh Lay, 41 dari Setapak berkata beliau begitu gembira kerana telah menerima baucar tunai daripada CGC.

Beliau berkata inisiatif dari CGC ini dapat membantu beliau dalam persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina yang akan datang. Beliau juga menambah bahawa ini adalah satu perkara yang mulia dari CGC yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik, terutama ketika musim perayaan.

Selain daripada program amal perayaan ini, CGC juga telah menyediakan bantuan kepada kakitangannya serta penduduk yang terjejas akibat banjir di Kelantan baru-baru ini. Kira-kira 50 sukarelawan CGC menjalankan aktiviti gotong royong  disekitar kawasan Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai dan Pasir Tumboh, Kelantan. CGC juga menyumbang makanan dan keperluan asas seperti gula, beras, selimut dan tuala kepada mangsa-mangsa bencana banjir.

Pada skala yang lebih besar, CGC telah menerajui pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menyediakan akses pembiayaan kepada PKS yang berdaya saing. Melalui system jaminan, CGC telah membiayai lebih dari 427,800 PKS sejak 1972.