IPOH, 28 Januari – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) membawa keceriaan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan warga emas di Rumah Kanak-Kanak Yatim dan Miskin & Warga Tua Anning di Ipoh, Perak bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang baru-baru ini.

Program Amal ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) CGC untuk menyalurkan sumbangan dari segi sokongan kewangan dan keperluan harian kepada anak-anak yatim dan warga emas bagi membolehkan mereka merasai sambutan perayaan tahun baru dengan meriah seperti masyarakat yang lain. Program ini juga merupakan sebahagian daripada sebuah siri inisiatif yang diambil oleh CGC semasa musim perayaan-perayaan utama untuk mendekati dan membantu golongan masyarakat yang kurang bernasib yang meliputi semua kaum.

“Melalui Program Amal yang diadakan, kami berhasrat untuk memupuk kesedaran tentang tanggungjawab dan perlunya untuk menjaga warga emas dan kanak-kanak ini dengan penuh kasih sayang, serta memberi sokongan dari segi moral dan kewangan. Ini akan memberi harapan kepada mereka kearah masa depan yang lebih cerah dengan lebih bersemangat dan berkeyakinan,” kata Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak.

“Selaras dengan objektif utama Program Amal CGC, kami yakin bahawa kerjasama kami bersama Rumah Kanak-Kanak Yatim dan Miskin & Warga Tua Anning yang amat terkenal dalam membantu golongan yang memerlukan, dapat membawa keceriaan dan kebahagiaan kepada kanak-kanak dan warga emas semasa menyambut Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi,” tambah Zamree.

Sumbangan dari CGC bernilai RM15,000 telah disampaikan oleh Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif-nya, Mohd Zamree Mohd Ishak kepada Penasihat Rumah Warga Tua Anning, Encik Ho You Meng. Sumbangan yang disalurkan adalah untuk membantu dari segi keperluan dan operasi serta aktiviti harian rumah tersebut. Kanak-kanak dan warga emas juga menerima ‘ang-pow’ dan sumbangan keperluan asas bagi kegunaan harian.

“Kami berharap sumbangan yang diberikan oleh CGC akan menggalakkan Rumah Amal ini untuk terus berkhidmat bagi membantu anak-anak dan warga emas yang kurang bernasib baik,” ujar Zamree.

“Setiap sumbangan yang kami terima akan dapat membantu memenuhi impian dan hasrat kanak-kanak dan warga emas disini untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina seperti masyarakat yang lain,” kata Ho.

“Kami amat menghargai usaha yang telah diambil CGC dalam menganjurkan program Tahun Baru Cina ini bersama kanak-kanak dan warga emas di rumah kami,” tambah Ho.

Kanak-kanak yang berumur dari empat (4) hingga 18 tahun dan warga emas turut mengambil bahagian dalam aktiviti yang telah dianjurkan. Mereka kemudiannya dihiburkan dengan persembahan tarian singa dan diikuti dengan sesi minum petang bersama-sama dengan tetamu yang hadir.

Program Amal anjuran CGC bersempena Tahun Baru Cina ini menyaksikan penyertaan kira-kira 20 kakitangan CGC yang terdiri daripada ahli pengurusan kanan dan kakitangan dari Ibu Pejabat CGC di Kelana Jaya dan juga cawangannya Ipoh. Turut hadir di program ini ialah ahli-ahli dari Dewan Perniagaan dan Industri Cina Negeri Perak.

“Inisiatif ini merupakan satu usaha berterusan oleh CGC dalam menunaikan tanggungjawab sebagai warga korporat yang prihatin, dan pada masa yang sama memupuk hubungan yang lebih erat diantara kakitangan CGC dan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik,” kata Zamree.

CGC juga telah menghulurkan pelbagai bantuan dan sokongan yang merangkumi pelbagai aspek bagi membantu golongan masyarakat di negara ini. Dalam tempoh dua (2) tahun, CGC telah menyumbang kira-kira RM250,000.00 melalui program CSR sebagai sebahagian daripada usahanya dalam menghulurkan bantuan dan mendekati pelbagai rentas golongan masyarakat.