Kota Kinabalu, 21 Ogos 2015: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) menyumbangkan RM100,000 bagi menyokong inisiatif pengumpulan dana oleh Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Ranau untuk membantu meringankan beban kewangan masyarakat Ranau yang terjejas oleh gempa bumi baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak menyampaikan cek tersebut kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

“Kami di CGC amat prihatin dengan kesan gempa bumi yang menimpa keluarga dan individu yang terlibat. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama masyarakat di Ranau,” kata Zamree .

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mendekati dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat di Ranau. Kami berharap sumbangan yang diberikan pada hari ini akan dapat membantu dalam mengurangkan kesulitan serta membina semula kehidupan seharian mereka secepat mungkin,” tambah Zamree.

“Selain sumbangan yang dihulurkan kepada masyarakat di Ranau, kami juga akan menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) khususnya di Sabah dan Sarawak bersempena Hari Malaysia pada 16 September ini,” kata Zamree.

CGC telah terlibat secara aktif dalam inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk lebih mendekati lapisan masyarakat Malaysia melalui pelbagai program yang dianjurkan. CGC telah menganjur dan menaja program-program amal bersempena perayaan utama diseluruh Negara.

CGC merupakan institusi kewangan pembangunan yang utama di negara ini telah mempelopori pembiayaan PKS sejak 1972. CGC telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan menjadi perantara kewangan yang berkesan bagi menyokong PKS berdaya maju yang kekurangan cagaran dan rekod untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan.

“Kami menawarkan pelbagai produk inovatif dalam menyokong PKS termasuk segmen perniagaan baharu seperti ‘start-ups’ yang merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk menggalakkan pembangunan PKS di negara ini,” tambah Zamree.

“Skim pembiayaan BizMula-i bagi perniagaan baharu yang telah dilancarkan pada Mei 2014, telah memanfaatkan ratusan PKS. Perniagaan baharu yang telah beroperasi kurang daripada tiga (3) tahun serta tanpa cagaran dan rekod, kini boleh mendapatkan pembiayaan setinggi RM300,000 dibawah skim ini,” kata Zamree.

Tambahnya, CGC telah memperuntukkan RM4.96 juta di bawah skim pembiayaan BizMula-i untuk menyokong perniagaan baharu di Sabah pada tahun 2015. Setakat Julai 2015, sebanyak 31 permohonan daripada syarikat-syarikat baru di Sabah bernilai RM1.6 juta telah diluluskan. Secara keseluruhan, CGC telah meluluskan 589 permohonan bernilai RM48 juta di bawah skim BizMula-i.

CGC juga menawarkan skim Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i) yang merupakan skim pembiayaan kontrak bagi memenuhi keperluan PKS Bumiputera yang telah mendapat kontrak daripada agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Kami melihat potensi yang kukuh untuk terus berkembang bagi segmen ini di Sabah dan oleh itu CGC telah memperuntukkan RM22.85 juta untuk PKS Bumiputera. Ini adalah sejajar dengan pertumbuhan bagi projek-projek pembangunan oleh Kerajaan di negeri Sabah,” tambah Zamree.

“Kami mensasarkan untuk menyediakan pembiayaan berjumlah RM61 juta kepada PKS di Sabah, peningkatan sebanyak 52.5% berbanding dengan tahun sebelumnya,” katanya.

Pada tahun 2014, CGC telah menyediakan pembiayaan sebanyak RM40 juta kepada kira-kira 140 PKS di Sabah yang sebahagian besarnya kepada sektor borong, pembinaan dan hartanah melalui dua (2) cawangannya di Kota Kinabalu dan Sandakan. CGC akan mempertingkatkan aktivitinya untuk menggalakkan pertumbuhan pesat PKS di Sabah.

Pada tahun 2015, CGC menyasarkan untuk menyediakan RM3.0 bilion pembiayaan kepada 7855 PKS dan sehingga kini, CGC telah meluluskan 3,100 permohonan bernilai RM2.2 bilion. “Kami yakin bukan sahaja dalam menepati sasaran, malah melebihi jangkauan sasaran kami sebanyak 10 % pada akhir tahun,” kata Zamree.