Kuala Lumpur, 3 Mac 2015 – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) hari ini mengumumkan bahawa mereka akan meningkatkan nilai jaminan borong pertama dan satu-satunya yang disediakan untuk PKS di negara ini kepada RM1 bilion menjelang akhir tahun ini.

Dana baru berjumlah RM500 juta tersebut akan disediakan dalam dua peruntukan RM250 juta setiap satu pada bulan Mei dan Disember, berikutan kejayaan dua peruntukan awal dalam jumlah yang sama pada bulan April dan November tahun lepas.

Menurut Pengarah & Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Syed Abdull Aziz Syed Kechik, pada hakikatnya, jaminan borong ini telah menimbulkan fasa baru pembangunan dalam usaha pembiayaan tidak bercagar di Malaysia.

“Seperti dalam perjanjian terdahulu, peruntukan baru Wholesale Guarantee-i (WG-i) akan menyaksikan nisbah risiko yang terbabit dalam pembiayaan perniagaan dikongsi bersama antara CGC dan OCBC Al-Amin untuk tempoh jaminan 5 tahun.

“Dua peruntukan pertama berjumlah RM500 juta pada asasnya telah menjamin lebih dua ribu perniagaan, daripada industri yang merangkumi peruncitan dan borong kepada pengeluaran. Dengan sambutan luar biasa kepada peruntukan asal, kami hanya mengambil masa setahun untuk memulakan fasa peruntukan akan datang yang membawakan bilangan PKS yang menerima perkhidmatan ini kepada lebih 5,000 sebelum akhir tahun,” katanya.

Mengulas mengenai gandaan nilai skim menjelang akhir tahun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata CGC gembira dengan kejayaan dua peruntukan pertama OCBC Al-Amin dan mengalu-alukan perkembangan positif dan lancar yang membawa kepada peruntukan ketiga.

“Pakatan strategik dengan OCBC Al-Amin merupakan usaha sama ketiga antara CGC dan OCBC Bank dalam tempoh beberapa tahun lepas. Saya yakin bahawa pakatan berterusan kami akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua institusi, dan lebih penting lagi, untuk PKS berdaya maju yang layak menerima pembiayaan.

“CGC terus menggalakkan lebih banyak perniagaan memanfaatkan pembiayaan tidak bercagar baik sebagai pembekal mahupun penerima. Dengan peranan yang dimainkan oleh CGC untuk berkongsi risiko jaminan, lebih banyak bank kini yakin untuk tampil ke hadapan untuk menyediakan pilihan pembiayaan inovatif bagi memenuhi keperluan dan trend pertumbuhan PKS yang dijangka menyumbang 41% kepada keluaran dalam negara kasar menjelang 2020.

“CGC telah menerajui pembangunan PKS dan terus memainkan peranan penting dalam pembiayaan PKS, khususnya bagi PKS yang kecil tetapi berdaya maju. Dengan permintaan yang lebih tinggi untuk pembiayaan daripada segmen ini, CGC meneruskan usaha untuk meluaskan capaian PKS dengan membentuk pakatan strategik dengan pelbagai institusi kewangan,” katanya.

Sidang akhbar turut dihadiri oleh Pengerusi OCBC Al-Amin Dato’ Ooi Sang Kuang  dan Pengerusi CGC Dato’ Agil Natt.

WG-i memberi tumpuan kepada produk pembiayaan tidak bercagar yang ditawarkan OCBC Al-Amin, Business Cash-i (BC-i), yang diperkenalkan pada 2012.

Menurut Syed Abdull Aziz, BC-i telah dirangka sejajar dengan minat yang semakin bertambah daripada PKS untuk pembiayaan bertempoh tidak bercagar demi memenuhi keperluan pembiayaan jangka pendek hingga pertengahan.