PETALING JAYA, 16 Dis – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Mohd Zamree Mohd Ishak sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya mulai 1 Januari 2015.

Zamree menggantikan Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berikutan persaraan beliau setelah menerajui CGC selama 17 tahun.

Zamree berpengalaman luas dalam bidang perbankan korporat dan pengguna serta pendidikan kewangan Islam. Beliau memulakan kerjaya korporat dengan Maybank Berhad pada tahun1989 hingga 2009.

Beliau juga telah memegang dua jawatan kanan di Maybank Berhad iaitu jawatan Naib Presiden, Perbankan Pengguna (Jan 2005 – Jan 2008) dan Naib Presiden Eksekutif, Perbankan Korporat (Jan 2008 – Julai 2009).

Zamree telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam  (INCEIF) sejak Julai 2009 sehingga perlantikan terbarunya dengan CGC. Selain daripada peranannya dalam INCEIF, Mohd Zamree merupakan ahli Persatuan Profesional Kewangan Islam Berkanun (ACIFP).

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan – Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Hull, Hull, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan (BSBA) dari St Louis University, Missouri, Amerika Syarikat.