KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah melancarkan produk pembiayaan langsungnya iaitu BizWanita bagi mempertingkatkan akses pembiayaan kepada usahawan wanita.

BizWanita merupakan produk pembiayaan langsung kedua yang dilancarkan oleh CGC dalam tempoh 18 bulan sebagai inisiatif untuk mendekati segmen perniagaan dengan lebih luas khususnya bagi perniagaan baru yang mempunyai potensi yang lebih besar. Selain merapatkan jurang akses kepada pembiayaan untuk perniagaan milikan wanita, BizWanita juga bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perniagaan dan syarikat-syarikat yang diuruskan atau dikendalikan oleh wanita atau syarikat dimana majoritinya merupakan tenaga kerja wanita.

Timbalan Menteri Kewangan II, YB Datuk Johari Abdul Ghani berkata produk BizWanita CGC merupakan langkah yang tepat memandangkan masih banyak lagi perniagaan yang berpotensi tetapi tidak layak memperolehi bantuan dari segi akses pembiayaan dari institusi kewangan kerana kekurangan cagaran atau rekod yang mencukupi. BizWanita juga membantu untuk memperkasa dan menyokong usahawan wanita di seluruh negara yang merancang untuk memulakan atau membawa perniagaan mereka ke tahap yang seterusnya.

“Objektif CGC adalah bagi membolehkan usahawan wanita untuk mendapatkan pembiayaan menerusi 16 cawangan kami di seluruh Negara pada tahap yang kompetitif”, kata Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, En. Mohd Zamree Mohd Ishak. “Kami menawarkan kadar pembiayaan serendah BFR + 0.20% walaupun tiada cagaran yang diperlukan untuk kemudahan pembiayaan langsung BizWanita ini.

Produk BizWanita ini berlandaskan konsep Murabahah Komoditi, dan mematuhi kehendak Syariah yang menawarkan pembiayaan antara RM20,000 hingga RM300,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga tujuh (7) tahun.

Wanita berusia antara 21 hingga 60 tahun yang mempunyai lesen perniagaan dan didaftarkan di Malaysia di bawah pihak berkuasa tempatan, dan sebuah syarikat yang berada di bawah definisi PKS seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) layak untuk memohon pembiayaan di bawah produk BizWanita. Selain itu, syarikat yang memohon mestilah diselia atau milikan rakyat Malaysia dengan pegangan saham sekurang-kurangnya 51%.

“CGC telah memperuntukkan RM30 juta bagi BizWanita yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500 PKS. Dalam tempoh tiga (3) bulan akan datang, kami menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan bernilai RM7 juta melalui produk ini”, tambah Zamree. “Sejak pra pelancaran ‘soft launch’ pada 1 Oktober 2015, kami telah meluluskan 17 permohonan bernilai RM2.45 juta”.

Dengan pelancaran BizWanita, CGC telah meningkatkan jumlah pembiayaan langsung kepada kira-kira RM95 juta. Pada bulan Mei 2014, CGC melancarkan produk pembiayaan langsung BizMula-i untuk perniagaan baharu dengan saiz dana sebanyak RM30 juta yang kemudiannya ditambah kepada RM65 juta.

Sehingga September, CGC telah meluluskan kira-kira 6,900 pinjaman bernilai RM2.6 bilion melalui kesemua produk jaminan dan pembiayaannya, yang secara langsung memperlihatkan unjuran positif dalam melebihi sasaran yang diletakkan sebanyak RM3.0 bilion dengan RM600 juta.

“Sejajar dengan visi kami untuk menjadi sebuah institusi kewangan yang khusus untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan PKS yang berdaya saing dan dinamik, CGC akan terus membantu PKS yang berdaya maju dengan menawarkan produk inovatif bagi meningkatkan capaian PKS kami”, nyata Zamree.

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, YB Datuk Johari Abdul Ghani. Turut hadir pada majlis tersebut untuk menyaksikan majlis pelancaran ini ialah Pengerusi CGC, Dato ‘Agil Natt dan Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, En. Mohd Zamree Mohd Ishak, Ahli-ahli Lembaga Pengarah CGC, pegawai-pegawai Bank Negara Malaysia, wakil-wakil dari pelbagai institusi kewangan dan dewan-dewan perniagaan serta para pelanggan CGC.