SEREMBAN, 5 November – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) meneruskan usaha murninya dengan mengadakan program kemasyarakatan bersempena perayaan Deepavali di Pertubuhan Rumah Perlindungan Wanita & Kanak-Kanak (Didera) Seremban dan memberi sumbangan sebanyak RM10,000 dengan harapan untuk membawa kegembiraan kepada kanak-kanak serta wanita yang kurang bernasib baik yang menetap di rumah perlindungan tersebut.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini adalah sebahagian daripada inisiatif CGC untuk mendekati serta memberi sokongan kepada golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan bantuan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat yang berkepelbagaian budaya dan agama, kami memahami keistimewaan setiap perayaan yang disambut oleh pelbagai kumpulan etnik dalam masyarakat kita. Terutamanya semasa musim perayaan, kami ingin mendekati dan berkongsi kegembiraan bersama golongan yang kurang bernasib baik dan ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan mereka malah dapat membawa kegembiraan dan kebahagiaan ketika musim perayaan seperti ini. Kami amat berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban kanak-kanak yang menetap di pusat ini.” kata Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Encik Mohd Zamree Mohd Ishak.

Sumbangan berjumlah RM10,000 telah disampaikan oleh En. Zamree kepeda Puan Vasanthi Naidu Velayutham, Pengerusi bagi rumah perlindungan dan majlis diteruskan dengan penyampaian duit raya Deepavali, beg sekolah beserta hamper sebagai hadiah istimewa kepada kanak-kanak tersebut.

“Kami amat berbesar hati kerana CGC tampil untuk menghulurkan sumbangan, dan dengan sumbangan yang diberikan, kanak-kanak ini dapat menikmati saat kegembiraan ini sebelum perayaan Deepavali. Sumbangan ini amatlah bermakna buat mereka, ” kata Vasanthi.

Menurut Zamree, program CSR adalah usaha berterusan CGC dalam memenuhi keperluan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab. Dengan menggabungkan nilai-nilai murni ini, kami berharap untuk lebih banyak melibatkan diri bersama masyarakat, biarpun sama ada sesama para pelanggan kami, pihak berkepentingan atau golongan masyarakat dengan lebih bermakna.

Program CSR Deepavali CGC yang dianjurkan bersama dengan rumah perlindungan ini disertai oleh kira-kira 25 kakitangan CGC yang terdiri daripada ahli pengurusan kanan serta warga kerja dari ibu pejabat dan cawangan Seremban. Turut hadir di program tersebut ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Negeri Sembilan, Encik Kumarasamy Sittampalam bersama ahli-ahlinya.

Kanak-kanak yang berusia antara lima (5) hingga 13 tahun mengambil bahagian dalam aktiviti dan permainan yang dianjurkan khas untuk mereka dan diikuti dengan jamuan makan tengah hari bagi semua tetamu.

Pada awal tahun ini, CGC telah menghulurkan bantuan dan sokongan pemulihan melalui pelbagai inisiatif. Bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Malaysia, CGC telah menganjurkan program CSR di Kuala Lumpur dan Bengkel Seri Sarawak di Kuching serta di Yayasan Kebajikan Anak Yatim Suria di Tuaran, Sabah untuk memberi sokongan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Pada bulan Ogos 2015, CGC telah menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa gempa bumi Ranau. Pada bulan Oktober 2015, CGC telah menganjurkan Kempen Derma Darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara di ibu pejabatnya di Kelana Jaya.