Petaling Jaya, 30 Julai, 2014 – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Encik Teoh Kok Lin dan Encik Suresh Menon sebagai pengarah bukan eksekutifnya baru-baru ini.

Encik Teoh Kok Lin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Pelaburan Singular Asset Management Sdn Bhd, sebuah syarikat pengurusan dana yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Beliau mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman di dalam bidang perbankan, kredit dan pelaburan dengan institusi kewangan. Beliau memulakan kerjayanya dengan Citibank Malaysia pada tahun 1987 sebelum menyertai Malaysia Barings, Penyelidikan HSBC Malaysia dan UOB Kay Hian Singapura.

Beliau merupakan perintis Chartered Financial Analyst (CFA) di Malaysia dan merupakan bekas Presiden Persatuan CFA Malaysia. Teoh juga merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Pelaburan Singular Asset Management (Singapore) Ltd, yang ditubuhkan pada 2010 dan merupakan pengurus dana yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura.

Sejak tahun 2002, beliau telah menguruskan dana untuk institusi dengan portfolio pelanggan bernilai tinggi. Beliau juga telah mengembara di seluruh Asia dan Asia Utara untuk penyelidikan dan kerja lawatan. Sebagai ahli majlis Dewan Perniagaan Cina dan Industri Kuala Lumpur dan Selangor, beliau kini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Fiskal & Penyelidikan Ekonominya.

Mr.Teoh mempunyai dua Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Kewangan (Kepujian). Beliau juga telah memperolehi kelayakan Ijazah Sarjana Sains dalam Pentadbiran Industri (MBA setara) dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat.

Encik Suresh Menon mempunyai hampir 35 tahun pengalaman dalam pelbagai sektor yang dinamik seperti pembuatan dan pasaran kewangan antarabangsa. Kepakaran beliau merangkumi analisa kredit dan metodologi penarafan, panduan industri dan amalan terbaik proses penarafan, penulisan laporan kredit, perancangan strategik dan pembangunan, analisa korporat dan kewangan, pembangunan kakitangan dan kemahiran, pengurusan pengeluaran dan operasi, dan pengurusan projek dan pentauliahan.

Suresh telah memainkan peranan penting dalam penubuhan RAM Holdings Berhad (dahulu dikenali sebagai Rating Agency Malaysia Berhad). Selama 18 tahun, beliau telah memainkan peranan penting di RAM dalam penyediaan pelbagai perkhidmatan dan dalam memastikan agensi berkenaan mencapai kemuncaknya. Beliau adalah ahli Lembaga Pengarah di RAM dan juga ahli Jawatankuasa Penilaiannya. Jawatan terakhir beliau dengan RAM adalah sebagai Pengarah Eksekutif.

Beliau juga telah mengambil bahagian dalam projek-projek pembangunan dengan badan-badan antarabangsa iaitu Bank Pembangunan Asia (ADB), Majlis Penasihat Perniagaan APEC dan Persatuan Agensi Penarafan Kredit di Asia (ACRAA). Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Latihan ACRAA. Beliau juga pernah menjadi ahli Jawatankuasa Utama Indeks Tadbir Urus Korporat Malaysia 2009, 2010 dan 2011 bagi Pemerhati Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

Sejak 2010, Suresh merupakan seorang Perunding Pasaran Modal Bebas dan menawarkan khidmat perundingan dan latihan kepada agensi-agensi kewangan dan pihak berkuasa di pelbagai negara. Beliau kini adalah ahli Lembaga Pengarah Pacific Trustees Berhad.

Suresh memperolehi kelulusan Sarjana Muda Teknologi dalam jurusan Kejuruteraan Kimia daripada University of Madras pada tahun 1979. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan daripada Institut Pengurusan Asia di Filipina pada tahun 1985.

Lembaga Pengarah CGC semasa terdiri daripada sembilan (9) ahli dan pengerusinya adalah Dato ‘Agil Natt.

MENGENAI CGC

Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah ditubuhkan pada 5 Julai 1972. Pemegang saham semasa adalah Bank Negara Malaysia (pemegang saham utama) dan bank-bank komersial. Fokus perniagaan teras CGC adalah untuk membantu PKS, terutamanya mereka yang tanpa atau kekurangaan cagaran dan tidak mempunyai rekod prestasi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan memberikan perlindungan jaminan ke atas pembiayaan tersebut. Sejak penubuhannya, CGC telah secara kumulatif menjamin lebih daripada 420,000 pinjaman bernilai hampir RM53.9 bilion.

Kini, rancangan CGC untuk mencapai agenda pengukuhan kewangannya berjalan dengan lancar seperti yang termaktub dalam pelan transformasi bisnesnya. Sejak empat (4) tahun kebelakangan ini, CGC telah mencatatkan kenaikan dalam keuntungan bersihnya dari RM15.6 juta pada 2010 kepada RM121.1 juta pada tahun 2013.

CGC, atau lebih dikenali sebagai ‘firma kredit bagi usahawan kecil’ pada awal penubuhannya lebih menumpukan usaha dalam membantu usahawan kecil dalam bidang pertanian, komersil dan sektor industri. Seiring dengan perkembangan ekonomi Malaysia, pemintaan bagi servis jaminan CGC juga turut berkembang. Produk dan servisnya juga telah diperluaskan bagi memenuhi keperluan kemudahan kredit yang lebih besar daripada PKS berskala sederhana.

Sokongan CGC kepada PKS tidak hanya bertumpu kepada jaminan pinjaman dan kemudahan pembiayaan, tetapi juga perkhidmatan informasi kredit dan penarafan kredit melalui anak syarikatnya Biro Kredit Malaysia. Melalui Biro, CGC membantu PKS bagi mewujudkan sejarah dan rekod prestasi kredit bagi meningkatkan kredibiliti dan ‘bankabiliti’ mereka untuk mendapatkan pembiayaan secara merit dan pada kos yang berpatutan.

Pembiayaan lain yang diuruskan oleh CGC termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM300 juta. Setakat ini, CGC telah menguruskan sebanyak 42 skim jaminan termasuk 16 skim pembiayaan kerajaan.

Kini, 15 bank Islam, 17 bank komersil dan tujuh (7) institusi pembangunan kewangan telah turut serta dalam skim jaminan kredit CGC yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada pembiayaan melalui lebih daripada 2,000 cawangan mereka diseluruh negara.

PKS yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai CGC boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 03-7880-0088 atau layari laman sesawang di www.cgc.com.my.

 
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

V. Kumaran
Timbalan Naib Presiden
Komunikasi Korporat
Tel: 03-7806 2300 ext 232
HP: 016-638 1747
Email: [email protected]