KUALA LUMPUR, 30 Disember – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah melancarkan Skim Bantuan Khas (SBK-i), satu kemudahan pembiayaan langsung dengan tujuan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada para pelanggan sedia ada yang ditimpa bencana alam.

SBK-i adalah usaha proaktif CGC untuk membantu para pelanggannya memulih dan meneruskan semula perniagaan mereka sejurus selepas ditimpa bencana alam seperti banjir, tsunami, gempa bumi dan wabak penyakit. Kemudahan pembiayaan SBK-i akan disediakan bagi mereka yang berada di bandar atau daerah yang telah diwartakan sebagai kawasan bencana oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri atau disifatkan sebagai kawasan bencana oleh CGC.

Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, SBK-i adalah salah satu inisiatif CGC untuk membantu pelanggannya dalam mengatasi cabaran kewangan sekiranya berlaku bencana alam. “Dalam keadaan beginilah kami berharap dapat membantu pelanggan kami mengharungi dugaan supaya mereka dapat meneruskan perniagaan mereka dengan sokongan pembiayaan yang kami sediakan. Memandangkan kini merupakan musim tengkujuh, kami berharap para pelanggan kami dapat bersiap sedia untuk mengharungi sebarang kemungkinan,” kata Zamree.

Pembiayaan yang disediakan di bawah kemudahan SBK-i adalah bertujuan untuk modal kerja dan / atau perolehan aset, iaitu pelanggan CGC boleh membeli aset untuk kegunaan komersil, menggantikan atau membaik pulih kerosakan aset akibat bencana serta untuk pengurusan aliran tunai supaya mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa selepas bencana alam.

SBK-i yang berasaskan konsep Komoditi Murabahah dan prinsip Syariah ini menyediakan pembiayaan dari RM20,000 hingga RM200,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima (5) tahun termasuk tempoh moratorium bagi enam (6) bulan pertama untuk pembayaran balik kadar berkeuntungan sahaja. Semua ansuran selepas tempoh moratorium perlu dibayar sepenuhnya. Kadar pembiayaan yang dikenakan di bawah SBK-i adalah 5.80% setahun.

Kemudahan pembiayaan langsung ini ditawarkan kepada semua pelanggan CGC yang sedia ada dan perlu memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di bawah SBK-i. Untuk maklumat lanjut mengenai skim ini, para pelanggan CGC boleh menghubungi cawangan CGC yang berdekatan. CGC beroperasi melalui 16 rangkaian cawangan di seluruh negara. Mereka juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan CGC melalui talian 03-7880-0088 atau emel [email protected] atau layari laman sesawang di www.cgc.com.my.

Sebelum ini, CGC telah menguruskan beberapa skim khas yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu Perniagaan Kecil dan Serderhana (PKS) yang terjejas dengan bencana alam atau wabak. Pada tahun 2003, CGC telah menguruskan Skim Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa (KJBI) yang dilancarkan untuk membantu PKS yang terlibat dengan wabak Sindrom Akut Pernafasan Teruk (SARS) serta KJBI-2 pada tahun 2007 dan Kemudahan Bantuan Khas pada tahun 2015 untuk PKS yang terjejas oleh banjir.

Sejak penubuhannya pada tahun 1972, CGC telah menjamin lebih 430,000 pembiayaan kepada 315,000 PKS yang bernilai lebih RM56 bilion. Bagi tahun 2015, sasaran CGC adalah untuk menyediakan 8,000 pembiayaan yang bernilai RM3.2 bilion kepada PKS.