CGC100 Youth Entrepreneurship Programme (Comprehensive Track)
CGC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan PINTAR Foundation telah menyaksikan graduasi dua puluh (20) peserta daripada Program Keusahawanan Belia CGC100 (CGC100) di INCEIF University, Kuala Lumpur pada 7 Mac 2023. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi CGC, Dato' Mohammed Hussein dan turut dihadiri oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan dan Kerjasama Hubungan Industri (SPKHI) Kementerian Pendidikan Malaysia, TS. Supian Bin Mahmood dan Timbalan Presiden Operasi Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Dr. Muhammad Syahmi Mohd Karim. CGC100 adalah kerjasama antara CGC, PINTAR Foundation dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai keusahawanan di kalangan belia, menggalakkan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya, mengasah kemahiran keusahawanan dan menyemai nilai teras yang akan membawa kepada daya tahan. Pengerusi CGC, Dato’ Mohammad Hussein dalam ucapan utamanya berkata, “Program ini adalah komitmen CGC untuk memupuk semangat keusahawanan pada usia muda. CGC100 adalah untuk golongan belia daripada ekonomi gig yang mempunyai kemahiran asas dalam keusahawanan. CGC sedar bahawa para peserta memerlukan lebih daripada 6 bulan untuk menjadi usahawan. Apa yang lebih penting ialah penerapan nilai teras dan kemahiran asas keusahawanan kepada para peserta CGC100 supaya mereka boleh memulakan usaha niaga mereka dengan langkah yang betul.” Majlis berakhir dengan perasmian Program CGC100 (Comprehensive Track), kursus intensif selama 12 bulan yang ditujukan untuk menyemai kemahiran dan pengetahuan bagi peserta yang mempunyai pengetahuan minimum tentang keusahawanan. Tiga puluh (30) peserta yang dipilih untuk program ini turut menyertai sesi Nilai Teras dan Etika Kerja yang telah disampaikan oleh Dato' Mohammed Hussein.