Riang Raya Aidilfitri Bersama CGC
Sempena bulan Syawal yang mulia ini, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah menganjurkan Rumah Terbuka Riang Raya Aidilfitri Bersama CGC di Hilton Kuala Lumpur pada 11 Mei 2023. Majlis ini dihadiri oleh rakan-rakan industri daripada Institusi Kewangan dan Institusi Kewangan Pembangunan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta rakan-rakan strategik perniagaan. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak menzahirkan rasa syukur kerana dapat berkumpul secara fizikal bagi menyambut Syawal bersama-sama rakan-rakan industri. Kali terakhir CGC mengadakan rumah terbuka seperti ini adalah pada tahun 2019 dan majlis pada kali ini diadakan secara fizikal dan telah mendapat sambutan yang baik. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran hampir 1,000 tetamu yang telah dijamu dengan pelbagai hidangan Raya seperti rendang, lemang, daging dendeng serta kuih tradisional yang pasti menggamit suasana Raya. Tidak dilupakan, persembahan live daripada kumpulan muzik Sri Kenchana menceriakan lagi suasana Rumah Terbuka CGC ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada kami di CGC Malaysia! Semoga perayaan anda dipenuhi dengan kasih sayang, kegembiraan, dan kebersamaan.