[print-me title="Cetak" target=".mdtext"]

Selamat Tahun Baru dan Salam Hormat dari kami di CGC.

Terima kasih di atas kesudian anda melayari laman sesawang kami. Saya dengan sukacitanya mengalu-alukan anda ke laman sesawang CGC.

Izinkan saya untuk berkongsi pencapaian CGC sepanjang tahun 2016 yang merupakan tahun yang penting di mana kami memulakan transformasi untuk menjadi sebuah organisasi yang maju, cekap dan berkesan untuk terus memacu pertumbuhan PKS. Beberapa inisiatif utama di bawah Pelan Strategik 5 Tahun (5-Year Strategic Plan), Penstrukturan Semula Proses Perniagaan (Business Process Reengineering) dan Pelan Pembangunan IT (IT Blueprint) telah berjaya dilaksanakan selaras dengan aspirasi kami ke arah menjadi ‘Jenama Terkemuka di Kalangan PKS (Household Name for SMEs)’ menjelang tahun 2020.

Dalam mewujudkan akses kepada pembiayaan yang lebih luas bagi PKS, kami telah menjalinkan pakatan strategik dengan beberapa institusi kewangan. Kami juga kekal fokus dalam menyediakan pembiayaan melalui kemudahan pembiayaan langsung kepada segmen PKS yang memerlukan perhatian khusus seperti segmen perniagaan baharu, usahawan wanita serta PKS Bumiputera.

Selain pembiayaan, kami juga menyediakan khidmat nasihat serta bimbingan kepada para pelanggan kami melalui Program Pembangunan CGC yang bertujuan untuk membantu para PKS mendapatkan akses kepada pasaran tempatan dan antarabangsa. Dalam usaha melaksanakan komitmen ini, kami telah membantu dan menaja tiga (3) pelanggan kami yang berjaya untuk mengambil bahagian di Ekspo China-ASEAN ke-13 yang diadakan di Nanning, China pada September 2016. Pameran tersebut telah menjadi sebuah platform yang penting bagi menempuhi pengalaman serta pembelajaran bagi mereka dalam mendapatkan pendedahan antarabangsa untuk mempamerkan dan memasarkan produk-produk mereka.

Selaras dengan komitmen kami dalam memupuk dan menggalakkan PKS untuk terus maju, kami telah bekerjasama dengan organisasi media untuk memberikan sokongan kepada usahawan yang berjaya melalui anugerah kecemerlangan perniagaan. Kami juga merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi strategik kami dalam industri kewangan melalui Anugerah Rakan FI Terbaik bagi mengiktiraf sumbangan mereka ke arah capaian PKS.

Inisiatif ini juga telah diperkuatkan lagi dengan penyertaan aktif CGC melalui pameran, seminar dan persidangan yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia, SME Corp, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, persatuan-persatuan dan dewan-dewan perniagaan serta melalui forum usahawan anjuran CGC untuk mewujudkan kesedaran tentang peranan serta perkhidmatan yang ditawarkan CGC kepada para PKS.

Tahun 2016 juga merupakan yang amat bermakna bagi CGC dalam konteks pengiktirafan dan penghargaan tempatan dan antarabangsa. CGC telah dianugerahkan Sijil Merit di bawah kategori Best Innovation in Sustainable Financial Products and Services bagi produk BizWanita-i oleh Karlsruhe Sustainable Finance Awards 2016, Laman Sesawang Terbaik di bawah kategori Anugerah Khas dan Anugerah Merit di bawah kategori Pembangunan PKS bagi produk BizWanita-i oleh Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan di Asia dan Pasifik (ADFIAP), Anugerah BrandLaureate Transformational Organisation Brand 2016, Anugerah Pendokong Utama PKS oleh Persatuan PKS di Malaysia, Anugerah Best Companies To Work For In Asia 2016 oleh HR Asia dan Anugerah Laporan Tahunan Terbaik di bawah kategori Non-Listed Organisations Award di Majlis Anugerah National Annual Corporate Report Awards (NACRA) 2016. Pengetahuan serta kepakaran CGC dalam pembangunan PKS juga diakui dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kami telah menjadi tuan rumah kepada sembilan (9) lawatan sambil belajar dan program suai kenal pada tahun 2016 bagi pegawai-pegawai institusi kewangan pembangunan dari Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Sebagai sebahagian daripada usaha CGC dalam menyumbang semula kepada masyarakat yang kurang bernasib baik, siri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah dianjurkan bersempena dengan perayaan-perayaan dan sambutan-sambutan utama. Ini merupakan usaha kami yang berterusan untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Setiap syarikat perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran yang berterusan disebabkan oleh gangguan pasaran berikutan daripada kemajuan teknologi dan inovasi. Sehubungan dengan ini, kami telah mewujudkan suasana kerja di mana warga kerja CGC boleh maju melalui pelbagai aktiviti penglibatan pekerja, latihan berterusan serta pengurusan bakat. Kami sedar bahawa kami perlu terus maju untuk melampaui jangkaan dan menjadi ‘game-changers’ bagi membawa CGC ke tahap yang lebih tinggi.

Akhir kata, bagi pihak rakan-rakan sekerja saya di CGC, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan dan pihak berkepentingan kami di atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada CGC. Saya percaya bahawa dengan dedikasi, komitmen serta semangat yang berterusan, kami boleh mencapai kejayaan yang lebih memberangsangkan pada tahun 2017.

Semoga anda lebih berjaya pada tahun 2017. Sekali lagi, terima kasih di atas kesudian anda melayari laman sesawang kami.

Wasalam / Salam Hormat,
Zamree

Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak