Kementerian Kewangan telah meluluskan lanjutan tempoh pengurusan skim pembiayaan Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i) kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) selama tiga (3) tahun sehingga 30 Jun 2022. Langkah ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut dapat mewujudkan peluang yang membolehkan usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang dengan sihat.

TPUB-i ialah sebuah skim pembiayaan kontrak yang didanai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan Bumiputera yang dianugerahkan kontrak atau projek daripada agensi-agensi Kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat bereputasi tinggi.

Di bawah skim ini, CGC telah diberi peruntukan sebanyak RM300 juta bagi membantu usahawan Bumiputera yang menghadapi kesulitan dalam memperoleh akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi-institusi kewangan.

Skim ini dibuka kepada semua sektor ekonomi termasuk pembinaan dan bekalan, pembuatan dan perkhidmatan. Skim ini menawarkan kadar keuntungan sehingga 5% setahun kepada pemohon kali pertama untuk pembiayaan sehingga RM3 juta. Bagi pembiayaan berikutnya, skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM 5 juta pada kadar yang kompetitif.

Sejak penubuhan skim ini pada Julai 2009, CGC telah meluluskan dan mengagihkan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.58 bilion kepada lebih daripada 1,900 usahawan Bumiputera. Pada tahun 2018, CGC telah mencatat pembiayaan tertinggi dalam setahun iaitu sebanyak RM330 juta.

Usahawan Bumiputera yang berminat untuk memohon pembiayaan skim pembiayaan kontrak TPUB-i ini digalakkan untuk memohon melalui www.imsme.com.my – platform rujukan pembiayaan / pinjaman perusahaan mikro, kecil dan sederhana pertama di Malaysia. Mereka juga boleh melawati cawangan CGC terdekat atau menghubungi talian +603 7880 0088 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.

CGC sentiasa menyokong agenda pembangunan ekonomi Malaysia dengan membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang berpotensi dan berdaya maju, tetapi kekurangan cagaran dan rekod prestasi yang mencukupi untuk mendapat pembiayaan daripada institusiinstitusi kewangan. Sejak penubuhannya pada tahun 1972, CGC telah menyediakan lebih daripada 460,000 jaminan dan pembiayaan melebihi RM70 bilion kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana di Malaysia.

Sayangi Malaysiaku!

– Tamat –