PETALING JAYA, Ogos 16 –  Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Puan Jessica Chew Cheng Lian sebagai pengarah bukan eksekutifnya, berkuatkuasa hari ini.

Jessica Chew membawa lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam pengawalan dan penyeliaan sektor kewangan.Kini, beliau merupakan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan bertanggungjawab bagi dasar pembangunan di sektor perbankan dan insurans dengan tumpuan pada kecekapan, inovasi, institusi pasaran dan struktur, pembangunan kewangan dan pembangunan bakat. Beliau juga bertanggungjawab untuk pembangunan sistem pembayaran dan pengawalan serta pengawasan perniagaan perkhidmatan kewangan. Pengalaman beliau turut termasuk pengauditan syarikat insurans, pembentukan dasar berhemat dan perilaku pasaran bagi bank dan syarikat insurans, serta pengawasan makrokewangan.

Jessica Chew kini memegang jawatan penasihat Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Pengerusi Badan Akreditasi Kewangan (Malaysia) mewakili BNM.

Jessica Chew memegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dengan pengkhususan dalam perakaunan dan kewangan daripada University of Melbourne, Australia. Beliau juga merupakan Ahli Bersekutu CPA Australia.