SHAH ALAM, 30 Ogos – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah menaja kejohanan ragbi anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama dengan Kelab Ragbi Home of Warriors (HOW) diambang sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-62.

Kejohanan ini adalah sebahagian daripada sambutan Karnival Kemerdekaan anjuran Kementerian tersebut. Ini merupakan kali kedua CGC menyokong kejohanan ini sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia di Stadium Mini Shah Alam. Lebih 1,000 orang termasuk pihak pengurusan CGC, ahli alumni dari 16 sekolah yang berprestij, pelajar dan orang awam telah hadir untuk menyokong dan memeriahkan kejohanan ragbi tersebut.

Ketua Pengawai Korporat CGC, Rahim Raduan berkata, “Sukan merupakan salah satu platform yang berkesan untuk menyatukan orang ramai dari pelbagai latar belakang dalam satu matlamat dan minat yang sama. Tambahan pula, kejohanan seperti ragbi dapat memupuk cara hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia. CGC berbesar hati untuk menjayakan kejohanan ragbi kali ini dalam semangat kemerdekaan selaras dengan tema hari kermerdekaan pada tahun ini: Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih.

Enam belas (16) pasukan menyertai kejohanan ini adalah ALSPEN Stingers RC (Alumni SMS Tun Syed Shahabudin, Penang), ASAS RC (Alumni Sekolah Alam Shah, Putrajaya), C70 (Alumni Taman Sri Rampai Veteran), Edwardian Tigers (Alumni SM King Edward V, Perak), ExSAS RC (Alumni Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang), JENAN RC (Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Kedah), KKB Great Wall (Alumni SM Kuala Kubu Baru, Selangor), KRAS (Alumni Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang), OPA RC (Alumni Royal Military College, Kuala Lumpur), SAJOHA Vets (Alumni Sekolah Sains Johor), SDAR RC (Alumni Sekolah Datuk Abdul Razak, Negeri Sembilan), SESMA Vets (Alumni Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Terengganu), Staroba RC (Alumni Sekolah Tuanku Abdul Rahman,Perak), STJ HOW (Alumni SM Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan), VI Legends (Alumni Victoria Institution, Kuala Lumpur) dan XTigers RC (Alumni Sekolah Sains Machang, Kelantan).

Presiden HOW merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Megat Mohammad Faisal Khir Johari berkata, “Ragbi Malam Ambang Merdeka 10s 2019 dianjurkan oleh HOW bersempena Hari Kemerdekaan ke-62. 16 pertubuhan alumni ragbi dari seluruh Malaysia menyertai kejohanan pada kali ini. Ragbi Ambang Merdeka ini adalah salah satu cara HOW mengumpul dana untuk program pembangunan untuk menggalakkan lebih ramai belia Malaysia terutamanya kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam sukan ragbi. HOW berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan CGC diatas sokongan padu mereka dalam menjayakan kejohanan ini.”

Malaysia berada pada tangga ke-48 dalam carta World Rugby Organisation. Ragbi ialah sukan yang paling digemari di kalangan sekolah-sekolah berprestij di Malaysia. Banyak sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sudah mula menubuhkan kelab ragbi masing-masing.

Selain daripada menjadi penaja Kejohanan Ragbi Malam Ambang Merdeka, CGC juga mempamerkan Jalur Gemilang gergasi bersempena Hari Kemerdekaan yang ke-62 dan juga Hari Malaysia untuk lima tahun berturut-turut. Bendera bersaiz 91 kaki panjang dan 36 kaki lebar itu dapat dilihat sehingga penghujung September 2019 oleh penumpang LRT dari Subang Jaya ke Kuala Lumpur serta pejalan kaki dan pemandu yang menghala ke Bangunan CGC iaitu ibu pejabat yang terletak di Pusat Perniagaan Kelana, Petaling Jaya.

-Tamat-