Padanan Perniagaan Khas untuk tiga (3) PKS Malaysia

KELANA JAYA, 25 Julai – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah menganjurkan program padanan perniagaan antarabangsa yang pertama di Jakarta melibatkan Perusahaaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari Malaysia dan pembeli dari Indonesia.

‘BizMatch’ ialah sebuah platform dibawah Program Pembangunan CGC bagi membantu PKS Malaysia menembusi pasaran antarabangsa. Indonesia mempunyai pasaran perbelanjaan pengguna terbesar di ASEAN dengan populasi melebihi 266 juta.

Tiga PKS Malaysia – Hoong Qian Trading Sdn Bhd, Mutiara Jingga Marketing dan Wish Dairies (M) Sdn Bhd telah berjaya menaiktaraf perniagaan mereka dengan 15 pembeli Indonesia melalui sesi ‘BizMatch’ CGC pada Selasa (24 Julai).

Antara kandungan program BizMatch ialah pameran produk dan perkhidmatan oleh PKS serta ceramah oleh institusi-institusi yang terlibat iaitu Dekopin, Jamkrindo dan SuperAnt.

“Pemadanan perniagaan CGC ini direka khas untuk PKS Malaysia yang berminat mengukuhkan dan meluaskan perniagaan menjangkaui Malaysia. Kami turut membimbing PKS ini mengenai cara-cara untuk memenuhi keperluan pengawalseliaan dan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan mereka di Indonesia,” kata Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Leong Weng Choong.

Beliau turut berkata CGC bermatlamat untuk membantu lebih banyak PKS Malaysia untuk meneroka pasaran di rantau ini dan global sejajar dengan agenda Pembangunan PKS negara.

“Ini adalah inisiatif antarabangsa pertama kami dan CGC akan menganjurkan program seumpama ini bagi memacu akses pasaran PKS ke luar negara. Kami percaya usaha ini akan membantu menonjolkan PKS dari segi produk dan perkhidmatan mereka. CGC menjangkakan program ini akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 PKS menjelang 2020,” tambah Leong.

Sementara itu, para PKS yang terlibat menghargai peluang yang diberikan dan yakin dapat mengukuhkan kedudukan di pasaran Indonesia.

“Ini adalah kali pertama kami menembusi pasaran di luar Malaysia dan BizMatch Antarabangsa CGC telah merealisasikan akses perniagaan kami ke pasaran Indonesia, “kata Muhammad Faiz Shahibul Firhad dari Mutiara Jingga Marketing, pengilang produk makanan dan kosmetik.

Chen Sow Wan, pengarah syarikat kasut wanita Hoong Qian Trading berkata: “Ini adalah pengalaman yang baik untuk bertemu dengan rakan niaga di Indonesia. CGC International BizMatch adalah platform hebat untuk meluaskan perniagaan kami.”

“Terima kasih CGC untuk peluang perniagaan ini di Indonesia. Kami berhasrat untuk membawa hubungan perniagaan dengan pembeli Indonesia ke peringkat seterusnya, “kata Raymond Liew, pengilang ais krim dari Sarawak, Wish Dairies (M) Sdn Bhd.

SuperAnt Indonesia (Super Advanced Network Technologies) adalah rakan kongsi digital rasmi CGC bagi program ini.

-tamat-