SERDANG, 30 Ogos – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah menaja kejohanan ragbi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), serta Kelab Ragbi Home of Warriors (HOW) diambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Kejohanan ragbi ini yang dikenali sebagai ‘CGC Merdeka Midnight Rugby Meet’ adalah sebahagian daripada Karnival Merdeka KKMM dan ianya istimewa kerana buat kali pertama CGC menaja program tanggungjawab korporat berasakan kesukanan.

“CGC berbangga dan berbesar hati untuk menaja kejohanan ragbi ini yang bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61. Sukan mampu mengeratkan ikatan silaturahim sesama kita, membina semangat berpasukan dan menggalakkan kehidupan yang sihat. Terdapat persamaan dalam nilai-nilai teras yang diamalkan di CGC dan sukan. Sukan menggalakkan semangat berpasukan, komitmen, membina integriti, dan menyerlahkan bakat. Unsur-unsur ini mewakili nilai-nilai pegangan CGC dalam membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” kata President/CEO, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Majlis turut menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Tuan Eddin Syazlee Shith. Selain itu, lebih 500 orang termasuk pihak Pengurusan CGC dan keluarga, alumni dari 10 sekolah berprestij, pelajar UPM dan orang awam hadir dan memberi sokongan di kejohanan ragbi tersebut.

10 pasukan kejohanan ragbi itu adalah ALSPEN Stingers RC (Alumni SMS Tun Syed Shahabudin, Pulau Pinang), Edwardian Legends (Alumni SM King Edward VII, Perak), KKB Vets (Alumni SM Kuala Kubu Baru), MCOBA Vets (Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar), OPA (Alumni Royal Military College, KL), SAJOHA Vets (Alumni Sekolah Sains Johor), SDAR Vets (Alumni Sekolah Datuk Abdul Razak, Negeri Sembilan), SMSSOB (Alumni SM Sains Selangor), STJ HOW (Alumni SM Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan) dan VI Legends (Alumni Victoria Institution, Kuala Lumpur).

Presiden HOW dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Megat Mohammad Faisal Khir Johari berkata kelab tersebut amat berbesar hati dengan tajaan CGC sebagai penaja utama kejohanan ragbi veteran itu.

Menurut Pertubuhan Ragbi Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan yang ke-48 di peringkat antarabangsa. Ragbi adalah sukan popular di kalangan sekolah-sekolah terkemuka di Malaysia dan kebanyakan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mula menubuhkan kelab ragbi.

“Alumni ragbi memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan ragbi di negara ini. HOW dan alumni yang lain, terutamanya bekas pemain ragbi, membantu pasukan sekolah masing-masing dengan memberikan bantuan Kewangan dan menganjurkan sesi latihan agar mereka ini dapat menyertai kejohanan ragbi tempatan dan antarabangsa yang lebih tinggi.

Majoriti alumni kami adalah profesional dan usahawan dan usahasama bersama CGC ini amat berbaloi kerana CGC komited untuk membangunkan PKS (perusahaan kecil dan sederhana),” ujar Megat.

Terdapat pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai jualan produk PKS, pertunjukan badut, lakaran wajah, dan permainan belon gergasi untuk para penyokong ragbi.

Kemuncak acara pada petang ini adalah sambutan Hari Kemerdekaan ke-61. Di CGC, sambutan Hari Kemerdekaan menjadi satu platform untuk menonjolkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara.

-tamat-