Pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF) terus kekal sebagai ancaman serius yang berpotensi menjejaskan reputasi, iklim pelaburan serta boleh memberi kesan kepada ekonomi dan sosial negara. Globalisasi industri perkhidmatan kewangan serta kemajuan teknologi merupakan cabaran hebat kepada pihak pengawalselia dan agensi penguatkuasa undang-undang kerana dewasakini penjenayah semakin mahir mempergunakan institusi-institusi pelapor untuk aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Undang-undang pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan adalah dikawalselia oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) yang mana bertanggungjawab memastikan piawaian Malaysia berkaitan pencegahan, pengesanan dan pelaporan aktiviti ML/TF adalah selari dan seragam dengan piawaian ML/TF antarabangsa.


Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) amat komited mematuhi segala piawaian berkaitan pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan. Adalah menjadi polisi CGC untuk menyekat dan mencegah secara aktif sebarang bentuk aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan atau kegiatan jenayah dengan mematuhi segala syarat-syarat yang terpakai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan – Garis Panduan Institusi Perbankan dan Pengambilan Deposit (Sektor 1) yang dikeluarkan oleh BNM.


Oleh kerana risiko ML/TF boleh memberi impak kepada reputasi CGC, polisi dalaman berkaitan dengan ML/TF telah diwujudkan. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kepada semua ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Kanan dan kakitangan CGC untuk mematuhi polisi ini. Polisi dalaman ini telah menetapkan beberapa perkara asas penting yang perlu ada dalam mewujudkan program-program pematuhan yang mantap dan berkesan dalam CGC. Dengan wujudnya polisi dalaman ini, CGC telah berjaya memenuhi segala kehendak yang perlu dipatuhi di bawah AMLATFPUAA dalam memerangi secara efektif aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.


Antara langkah-langkah penting yang telah diambil tindakan termasuk:


  • Melantik Pegawai Pematuhan Khas (DCO) bertaraf pegawai kanan yang bertanggungjawab untuk mengawalselia program-program pematuhan dalaman, menyelenggara dan mengemaskini rekod serta membuat pelaporan transaksi-transaksi yang mencurigakan;

  • Mewujud dan menyelenggara usaha wajar pelanggan berasaskan dasar-risiko mengenalpasti, menentusah dan prosedur kenali pelanggan anda serta usaha wajar pelanggan yang berterusan untuk pelanggan-pelanggan yang berisiko tinggi termasuklah Orang-orang Berpengaruh Politik (PEPs);

  • Mengesan, meneliti dan melapor dengan segera transaksi pelanggan-pelanggan yang mencurigakan kepada Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan (FIED), BNM;

  • Menyaring individu dan entiti yang terlibat dengan sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta memastikan CGC tidak berurusan dengan mana-mana individu/entiti yang dikenakan sekatan ini sebagaimana kehendak pihak yang mengawalselia pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan;

  • Membuat penzahiran secara tepat dan lengkap berkaitan transaksi/keadaan yang mencurigakan kepada pihak yang diberikuasa sepertimana yang diperuntukkan di bawah semua undang-undang yang terpakai/bidangkuasa-bidangkuasa masing-masing;

  • Menyimpan rekod mengenai semua butir-butir pengenalan/transaksi yang diperolehi bagi tujuan mengenalpasti pelanggan dan juga semua dokumen yang berkaitan dengannya menurut keperluan berkanun sepertimana yang ditetapkan dalam Akta;

  • Berkomunikasi secara tetap dan lengkap serta sentiasa mengemaskini laporan terbaru, menyampai dan memberikan maklumat mengenai pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan kepada semua peringkat kakitangan di dalam CGC menerusi program-program pematuhan yang diadakan; dan

  • Memberi panduan berhubung pengurusan maklumat pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan serta pelaporan yang diperlukan kepada Pengurusan Kanan dan Lembaga Pengarah CGC.