Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dengan sukacitanya mengumumkan perlantikan Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai Pengarah Bukan Eksekutif berkuatkuasa 18 Oktober 2018 susulan perletakan jawatan Puan Jessica Chew Cheng Lian sebagai Pengarah Bukan Eksekutif CGC berkuatkuasa 15 Oktober 2018. Puan Jessica Chew, Timbalan Gabenor BNM telah menganggotai Lembaga Pengarah CGC sejak 16 Ogos 2017.

Sebagai Penolong Gabenor BNM, Encik Adnan Zaylani bertanggungjawab terhadap Pembangunan dan Inovasi Kewangan, Perbankan Islam dan Takaful, Pembangunan Insurans, Kewangan Pembangunan dan Rangkuman Kewangan serta Undang-Undang. Sebelum ini, beliau bertanggungjawab untuk menyelia Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Pentadbiran Pertukaran Asing dan Pengurusan dan Operasi Mata Wang. Beliau dilatih dalam bidang Ekonomi dan mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun di dalam pasaran kewangan dan telah menyumbang kepada pelbagai polisi dan inisiatif pembangunan. Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Pengurusan Strategik dan Jawatankuasa Pengurusan Rezab BNM.

Encik Adnan Zaylani adalah Pengerusi Lembaga Pengarah BNM Sukuk Kijang Berhad, Ahli Lembaga Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Ahli Jawatankuasa Lembaga Eksekutif Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa, Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli Jawatankuasa Audit INCEIF.

Beliau memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Dasar Awam daripada Blavatnik School of Government, University of Oxford serta Ijazah Sarjana Sains dalam Ekonomi Pasaran Global dan Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi daripada London School of Economics and Political Science.